Personal

Dia Putera Hatiku

Masuk waktu solat Jumaat, tanda-tanda sedikit kelihatan. Kalau dulu pengalaman pertama, tandanya air, tapi kali ini darah yang hadir. Sungguh pun begitu, rasa sakit hanya sekali sekala datang, lebih sederhana berbanding yang pertama hampir 3 tahun dulu.

Mak di kampung seolah-olah ada kuasa telepati mula menelefon. ‘Cepat ke hospital’, kata mak. Masa menginjak ke petang, pusat perubatan terdekat kami kunjungi. Tapi terpaksa balik ke rumah. ‘Baru buka 2cm’, kata petugas wanita tu.. Terus ku khabarkan pada mak. Mak masih merancang, sama ada ke sini atau tunggu dulu.

Malamnya (baca: awal pagi), rumah kami sedikit meriah, dengan kehadiran mak, ayah, adik perempuan dan abang bersama kakak ipar serta anak perempuannya. Dapat lah kawan si kakak tu. Kejap main, kawan, kejap lagi bergaduh. Macam tu lah kerjanya. Tapi mood gembira. Sama seperti petangnya, rasa sakit sekejap datang sekejap menghilang..

Hari Sabtu berjaya ditempuh, dengan kerja dan aktiviti di rumah seadanya. Sakit, kadang kala 20 minit, ada juga mencecah 5 dan 10 minit sekali. Namun, masih sederhana seperti biasa. Tanda-tanda semakin banyak, cuma sakit yang sedikit sebanyak buat hati tertanya-tanya bilakah masanya.. Dan yang paling kelakar bila diingat, sakit hilang bila setiap kali bangun dari tidur.. Agaknya di dalam tu pun tengah tidur kot..

Menginjak ke malamnya, sakit semakin terasa. Cuma kekerapan yang bermain-main, ada 5 minit, ada 10 minit, malah ada juga 30 minit sekali. Mata cuba juga dilelapkan, namun hanya sedikit yang berjaya. Masa bergerak ke pukul 3 pagi, tidur lena sedikit terganggu, kerana rasa sakit yang semakin kuat. Namun, mata dipejam semula kerana fikirkan mungkin belum tiba masanya.

Pukul 4 pagi, sudah amat terganggu tidur nyenyak. Tidak cukup jam di dinding diperhatikan, malah jam telefon bimbit menjadi mangsa. Boleh dikatakan hampir setiap 5 minit, sakit yang semakin kuat dapat dirasai. Terus teman tidur di sebelah (baca: suami), dikejutkan. ‘Dah rasa 5 minit sekali ni, bang’, Kataku yang masih boleh berfikir, ye ke tak ni.. Lantas suami yang besar kemungkinan tidak begitu lena, mengajak kami ke pusat perubatan yang sama.

Pada adik, mak dan ayah kami khabarkan hasrat ke hospital. Ku minta adik temankan puteri sulung kami, bimbang terjaga tiada orang di sisi. Sampai di pusat perubatan, prosedur biasa dijalankan. Katanya bukaan menginjak ke 4cm. Lantas kami diberi bilik supaya dapat berehat seketika. Sungguh solat subuh berlangsung dalam kesakitan yang amat. Selepas 7 pagi, petugas wanita pusat perubatan sekali lagi memeriksa, katanya 5cm dan dia memasukkan ubat supaya dapat dibuang segala isi perut yang masih ada. Memang terbukti keberkesanannya, apabila tidak sampai 5 minit, habis dibuang. Kata petugas lagi, dalam pukul 8 pagi, doktor datang tengok.

Sepanjang waktu 8 pagi, doktor masih tidak sampai. Nasib baik ada suami yang setia menunggu, paling tidak kesakitan yang dirasai masih menguatkan diri kerana ada peneman di sisi. Maaf buat suami, mungkin secara tidak sengaja genggaman tangan sedikit kuat dek kesan sakit yang mula terasa kuat. Pukul 10 pagi, petugas yang sama masuk ke bilik. ‘Jom kita masuk dewan bersalin’, terus diajaknya. ‘Eh, nak masuk dah’, soalku. Katanya periksa di dalam dewan bersalin.

‘Dah buka 8 ni’, katanya. ‘Alhamdulillah’, terus terbit perkataan tu bila dengar dia cakap macam tu. Lepas tu, senyum sebab boleh lagi fikir balik pasal perkara tu. Tiba-tiba wajah biasa doktor ada di sebelah. Selepas melakukan proses sepatutnya dilakukan, ‘Jom kita mula’, katanya. ‘Oh, dah ek’, terdetik dalam hati masa tu. Dengan pantas dan sebaiknya, segala prosedur dibuat dan mulalah proses pengeluaran..

Mungkin disebabkan fizikal yang kedua ni lebih besar berbanding yang pertama, beberapa percubaan tidak berjaya. Apatah lagi, kali ini tiada sebarang ubat mahupun penahan sakit diberi. Kata orang bersalin seperti orang dulu-dulu, cuma bezanya doktor perempuan yang sambut berbanding bidan waktu dulu. Masuk kelima kali (ingat-ingat lupa ni..), pukul 10.25 pagi, berjaya juga, seketika, akhirnya dengar tangisan bayi memenuhi ruang bersalin tu. Terus doktor letakkan di dada, memang terasa kehadirannya kali ini berbanding si kakak. Mana tidaknya, 3.3kg berbanding 2.64kg. Terus petugas bawakan bayi, dan bersama suami kami lihat bayi yang sungguh comel (sapa yang kata anak sendiri tak comel kan..), cukup sifatnya, dan lahirnya seorang putera dalam rumah tangga kami.

Terima kasih Ya Allah, atas kurniaanMu yang sangat bernilai ini. Insyaallah akan kami belai dan jaga supaya membesar menjadi insan dan hambaMu yang taat dan sebaiknya. Mohon bantuanMu agar kami berjaya, Ya Allah.

Selamat hari lahir buat anak lelaki ku, Ahmad Hariz bin Ahmad Hafiz, buat pertama kalinya. Moga tabah dan kuat menghadapi hari mendatang. Kami semua sayang kamu..

@fiezaradzi.com – Sepasang Allah kurniakan pada kami, sungguh rasa bertuah dapat merasa pengalaman yang tidak mungkin sama dengan semua orang. Terima kasih, Ya Allah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge