Dunia Tanpa Sempadan

Posted by

Assalamualaikum,

Hujung minggu terasa cepat berlalu. Malam tadi, baru nak tidur, terkejut kerana ada acara bunga api secara besar-besaran berdekatan rumah. Pagi ini, ramai yang kecoh-kecoh pasal bunga api. Ada yang marah-marah, sebab bunga api, ada juga yang bagi ayat supaya kita bersabar dan toleransi. Dua-dua ada baik buruknya.

Toleransi adalah bagus, begitu juga dengan sabar. Sangat-sangat dituntut. Tapi saya yakin yang marah-marah tu bukanlah sebab tak boleh nak tidur atau bising bunga api tu, tapi mungkin disebabkan yang bakar mercun dan bunga api lebih dari pukul 1.00 pagi, acik sebelah rumah boleh angin. Nak pulak, kalau acik itu ada anak nak sekolah esok pagi atau yang ada anak 3-4 bulan. Mau terkejut menangis-nangis budak itu.

Dah, tak nak cakap pasal ni. Kalau masing-masing bertoleransi, tak de nak bakar mercun, bunga api bagai lebih dari pukul 1.00 pagi dan tak de yang nak marah-marah. Tutup cerita.

Kesan Teknologi ke Atas Hubungan Keluarga

Ini tajuk yang nak suruh korang semua berfikir. Semua tahu, makin hari mendatang, makin banyak teknologi terutamanya dalam bidang komunikasi ni. Setiap tahun, akan ada pelbagai jenis telefon pintar dan tablet baru yang keluar. Tak cukup versi 1, 2 dan 3, keluar pulak versi mini dan dislay yang cantik. Tak kisahlah. Itu memang kerja mereka yang terlibat dalam bidang ini. Nak cari makan.

Yang saya nak utarakan di sini adalah kesan dari perkembangan teknologi ini. Yang baik, memang banyak. Boleh fikir sendiri atau boleh baca tentang fenomena digital ini. Yang nak suruh fikirkan bersama ni, satu sahaja yang saya bawakan. Kesan teknologi ini ke atas perhubungan sesama ahli keluarga.

Bukan sekali dua saya perhatikan, tetapi sudah banyak kali sejak hujung tahun lepas. Setiap kali pergi ke kedai makan, walaupun tak selalu (kedai mamak terutamanya), akan ada walau hanya satu meja di mana ahli ‘meja’, kebanyakannya ahli keluarga yang asyik dan leka menggunakan teknologi ini. Si ayah, dengan iPhone 5 miliknya, mungkin akses internet tengokkan saham syarikat, manakala si emak pula, dengan telefon smart, mungkin juga mencari resepi di internet. Belum lagi anak perempuan, tidak berkelip mata, tengah layari facebook agaknya, dan tidak ketinggalan anak lelaki asyik dengan tablet, berhempas pulas bermain di alam maya.

Ya, kebanyakan ‘mereka’ yang terlibat ini saya perhatikan hampir tiada komunikasi sejak kami sekeluarga duduk dan menghabiskan makanan. Baik yang ada anak, atau yang berdua sahaja. Hampir sama situasi. Masing-masing sibuk dengan gadjet dan hampir tiada gurau senda seperti kami yang kecoh dengan nyanyian anak.

Adakah ini trend teknologi pada masa kini? Adakah keadaan akan berubah bila di rumah, atau di masa hadapan? Mungkinkah manusia tidak boleh hidup tanpa semua teknologi ini?

"telefon lama kesan teknologi"Terima kasih banyak telefon lama

Pernah tengok cerita korea tentang selebriti yang tidak boleh mnggunakan teknologi seperti telefon, tablet, internet dan juga televisyen. Kalau tak silap tajuknya ‘Human Condition’. Korang boleh cari. Mereka mampu bertahan seminggu walaupun pada awalnya huru- hara juga. Yang ada hanyalah telefon rumah yang tidak boleh menyimpan sebarang nombor kenalan. Baru tercari-cari nombor telefon mak ayah masing-masing. Korang ingat nombor telefon mak ayah korang?

Akhir sekali, gunalah teknologi sebaik mungkin. Jangan kerana teknologi, komunikasi anak beranak, laki bini lenyap begitu sahaja. Pandai-pandailah kita memaksimakan teknologi buatan manusia ini sebaiknya. Paling penting, lebihkanlah menghargai teknologi buatan Allah, iaitu suara dan hubungan sesama kita.

@fiezaradzi.com – Dapat gula-gula sorang satu dek kerana nyanyian si adik yang tak tahu lagu apa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *