Pertemuan Terakhir

Posted by

Assalamualaikum dan syukur padaNya diberi kesempatan untuk menulis hari ini. Salam hari Jumaat dan salam Ramadhan. Kali ini kita ikuti sekejap sedutan cerita antara dua imam hebat ini.

Imam Syafie pernah berguru dengan Imam Malik. Selepas berhijrah ke Iraq demi menuntut ilmu dari anak murid Imam Abu Hanifah, seorang saudagar Naufal menyatakan kehidupan Imam Malik yang dahulunya dalam serba kekurangan sudah bertukar menjadi mewah. Menurut Naufal, kediaman Imam Malik sudah besar dan cantik. Perabot-perabot mahal menghiasi rumahnya.

Kata-kata itu membuatkan Imam Syafie tidak senang hati, lantas beliau mahu bertemu dengan gurunya itu. Imam Malik berasa gembira kerana bertemu dengan anak muridnya yang paling disayangi. Memang benar kehidupan Imam Malik sudah berubah dan Imam Syafie terkejut dengan perubahan itu, yang mana jauh berbeza ketika kali pertama dijumpainya beberapa tahun yang lalu.

“Dipersilakan masuk ke rumah saya,” pelawa Imam Malik tetapi Imam Syafie seperti enggan.

“Biarkan sahaja saya beriktikaf di Masjid Nabi,” kata Imam Syafie.

“Apakah yang menghalang kamu untuk memasuki rumah saya?,” tanya Imam Malik.

“Tuan Imam, apakah yang berlaku kepada teratak kecil yang tuan miliki semasa saya berada di sini dahalu? Saya lebih selesa memasuli teratak itu,” jawab Imam Syafie.

“Rumah itu sudah dirobohkan dan diganti dengan rumah ini. Lebih besar dan luas ruangnya bagi membolehkan orang ramai berkumpul mendengar saya membaca kitab al-Muwattak,” jawab Imam Malik.

Mendengar kata-kata guru yang paling dihormati dan disayanginya itu, tiba-tiba Imam Syafie berasa sedih yang teramat sangat. Kemudian dia menangis teresak-esak.

“Mengapa kamu menangis? Apakah kamu menyangka saya memburu dunia dan mengorbankan akhirat dengan semua yang kamu lihat ini?” tanya Imam Malik.

“Itulah yang sangat saya bimbangkan. Membuatkan hati saya ini menjadi teramat sedih dan bimbang. Saya tidak mahu tuan menjadi lalai dengan kemewahan yang tuan sedang nikmati ini,” jawab Imam Syafie.

Imam Malik seperti sudah menjangka perkara itu yang membuatkan anak murid kesayangannya itu menangis. Dia langsung tidak tersinggung dengan kata-kata yang keluar dari mulut Imam Syafie.

“Sesungguhnya kamu ini seorang sahabat yang benar-benar ikhlas. Sahabat yang ikhlas menegur sahabatnya di hadapan bukannya mengumpat di belakang,” kata Imam Malik.

“Saya anak murid tuan, bukan sahabatmu,” kata Imam Malik pula.

“Dahulu kamu anak muridku, tetapi sekarang kamu sudah menjadi seorang ulama yang dibenarkan membuat ijtihad sendiri. Jadi kedatanganmu kali ini adalah sebagai sahabat yang ikhlas. Apa yang kamu lihat ini adalah nikmat kurniaan Allah. Kesemua ini adalah hadiah yang diberi oleh anak-anak muridku yang datang dari Khurasan, Mesir dan tempat lain. Rumah dan perabot yang cantik itu adalah hadiah daripada khalifah. Kamu tentu tahu Rasulullah SAW tidak pernah menolak apa-apa hadiah yang diberikan kepadanya. Memang benar khalifah selalu memberi hadiah. Saya menerimanya kerana harta itu diambil dari baitulmal. Harta yang diberikan khalifah itu saya sedekahkan kepada fakir dan miskin. Tidak pernah saya menyimpannya,” kata Imam Malik.

Menurut Imam Malik lagi, dia bukannya hidup mewah seperti yang disangka. Keuntungan daripada perniagaannya digunakan bagi membantu anak-anak muridnya yang datang belajar, tambahan pula mereka yang terdiri daripada keluarga miskin yang datang dari luar Madinah.

Barulah senang hati Imam Syafie mendengar kata-kata Imam Malik itu. Dia bersetuju dengan pelawaan Imam Malik untuk menjadi tetamu di rumahnya, sebelum berangkat pulang ke Mekah bertemu ibunya. Itulah pertemuan terakhir dua imam yang pernah duduk sebumbung ini.

Cukuplah cerita dua imam yang hebat ni. Jadi, menjadi kaya tu tak salah, asalkan kita gunakan sebaik-baiknya di jalan yang benar.

@fiezaradzi.com – Dan jangan lupa siapa diri kita..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *