Kebiasaan kami membasuh dan melipat baju di hujung-hujung minggu. Di saat ingin menyidai dan melipat baju, saat itulah yang ditunggu oleh anak kecil berusia 2 tahun ini. Jika ternampak abah atau mama mengangkat bakul berisi baju, sibuklah si kecik ni mengangkat bersama. Walaupun hanya memegang ringan bakul berisi baju, namun riak mukanya seolah-olah terlalu berat. Begitu juga di saat melipat baju. Tanpa disuruh, mulalah aktivitinya yang kadang kala menggusarkan hati ibu. Manakan tidak, semua baju yang dilipat adalah baju miliknya. Kadang-kadang baju yang sudah terlipat kemas pun mahu dibuka dan dilipat semula. Kalau cantik macam mama lipat (mama yang perasan), ok la kan. Ini kadang-kadang digulung-gulung macam roti gulung. Biarpun begitu, selalunya saya dan suami membiarkan sahaja, sebabnya jika dihalang, nanti tak nak pula dia melipat baju. Berfikr juga, mungkin ini boleh memupuk sifat rajin supaya bila besar tidak perlu diarah-arah berlebihan.
Sebenarnya sifat rajin ini boleh dipupuk. Bukan setakat sifat rajin, malah sifat baik lain boleh dipupuk dalam diri anak-anak, yang penting mulakan dari awal dan kita punya kesungguhan. Bagaimana ingin memupuk sifat rajin ini?
- Sentiasa mintak pertolongan anak-anak biarpun perkara yang kecil – Minta tolong dengan nada, intonasi yang gaya yang sesuai. Kadang-kadang anak-anak ini perlu kena dengan situasi. Tak salah meminta dengan cara baik dan bukannya dengan mengarah-arah. Lagi pun, memang mintak tolong perlu baik-baikkan. Kalau tak, tak de orang nak tolong. Tetapi, perlu diingatkan jangan pula kita kecewa sekiranya anak tidak mahu menolong.
- Adakan jadual tugasan. Kadang kala cara ini perlu bagi memastikan anak-anak bukan sahaja rajin, malah berdisiplin. Mungkin pada peringkat awal, anak-anak kelihatan seperti keberatan, namun lama-kelamaan, dengan pertolongan ibu bapa dan ahli keluarga lain, aktiviti ini mungkin akan memberi satu keseronokan buat anak-anak.
- Mulakan ketika di peringkat awal pertumbuhan anak-anak. Bak kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Memang benar. Anak-anak jika diajar cara yang kasar, maka tidak mustahil besar nanti, mereka turut bersifat kasar. Jadi, apa salahnya, sifat rajin ini kita terapkan sejak awal pertumbuhannya.
- Tidak salah memberi pujian atau ganjaran setelah anak-anak berjaya melaksanakan tugas yang diberikan. Paling kurang, “rajinnya anak mama ni”, atau “pandailah anak mama susun buku ni. Cantik, kemas pulak tu”. Atau jika sedikit berkemampuan, sesekali bawa anak anak makan makanan lazat, masakkan makanan kegemarannya atau bawa berjalan-jalan. Kadang-kadang hadiah yang kecil juga boleh jadi besar jika kena gayanya. Katakan pada anak ganjaran ini kerana anak-anak berjaya melaksanakan tugas yang diberi dengan baik.
- Beri contoh terbaik. Ibu bapa sebenarnya dijadikan model bagi anak-anak dalam menilai asas kehidupan. Percaya atau tidak, anak-anak terutamanya di peringkat bayi atau peringkat awal kanak-kanak, selalunya menjadikan aktiviti ibu bapa sebagai ikutan, sehinggakan di mana kita membuang sampah turut diperhatikannya. Jadi ibu bapa perlu sedar bahawa tindak tanduk yang betul dan baik sangatlah perlu dititik beratkan supaya perkara yang baik itu diikuti oleh anak-anak.
- Libatkan diri anak-anak ketika adanya sebarang majlis di kawasan kejiranan. Sungguh, dulu saya tinggal di asrama, jadi sangat kurang aktiviti kejiranan yang penuh dengan sifat tolong-menolong dan gotong-royong ini. Namun, saya sedar kadang-kala majlis seperti inilah yang merapatkan hubungan kejiranan dan juga dapat membantu proses pembelajaran anak-anak. Percayalah, anak-anak yang didedahkan dengan aktiviti kejiranan ini kadang-kala lebih rajin dari mereka yang hanya duduk terkurung di dalam rumah. Namun begitu, batas-batas pergaulan anak-anak masih perlu dijaga agar mereka tidak lupa akan batasan dalam agama.
Sebenarnya rajin ini boleh dipunyai secara semula jadi dan juga dipupuk. Tidak ramai yang dilahirkan dengan sifat ringan tulang ini dan selalunya mereka ini tidak perlu bersusah payah diajar. Bagaimanapun, ia bukan satu sebab mengapa anak-anak tidak boleh diterapkan sifat rajinnya.
@fiezaradzi.com – Sesungguhnya Allah Taala mengasihi hambaNya yang Mukmin yang berusaha (Riwayat al-Tabrani).