Kaum Muktazilah

Posted by

Assalamualaikum,

MESIR. Imam Syafie berhijrah ke Mesir selepas Gabenor Mesir sendiri memintanya datang ke wilayah itu. Selepas beberapa ketika berada di Mesir, Imam Syafie berjaya meredakan ketegangan antara pengikut Imam Syafie dengan pengikut Imam Hanafi, Imam Ahmad Hanbal dan Imam Malik, kecuali pengikut kaum Muktazilah.

“Wahai tuan guru, mengapa tuan masih berdiam diri dengan kaum Muktazilah sedangkan mereka mencaci maki tuan di khalayak ramai,” kata Jubair, salah seorang anak murid Imam Syafie.

“Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh atau pun orang gila adalah kebajikan kepada jiwa. Dalam sikap diam juga terdapat penjagaan bagi penghormatan. Tidakkah kamu tahu, harimau di hutan itu lebih ditakuti kerana diamnya sedangkan anjing yang menyalak itu dilempar dengan batu,” kata Imam Syafie pula.

Apabila soalan yang sama diajukan pada hari berikutnya, Imam Syafie menjawab, “Saya anggap diam itu sebagai perniagaan. Meski pun tidak ada untungnya, tetapi saya tidak rugi. Namun saya tetap yakin, diam itu ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya.”

“Wahai tuan guru, kaum Muktazilah menganggap diri mereka lebih warak berbanding kaum lain. Apakah pendapatan tuan?” tanya al-Rabi’ pula, juga anak murid Imam Syafie.

“Seseorang yang memiliki sifat warak tidak akan mempedulikan keaiban orang lain kerana disibukkan memikirkan keaibannya sendiri. Ibarat orang yang sedang sakit tidak mungkin menghiraukan kesakitan orang lain kerana sibuk memikirkan penyakitnya sendiri,” jawab Imam Syafie.

Kaum Muktazilah tidak berputus asa menjatuhkan Imam Syafie, malah berniat mengusirnya dari Mesir dan ada sampai ke tahap mahu membunuhnya. Namun Imam Syafie tetap bersabar atas segala dugaan yang mendatang.

@fiezaradzi.com – Lebih baik kita hebahkan perkara baik, daripada menghebahkan keaiban orang lain.

** Sumber cerita dari buku Imam-Imam Yang Benar, tulisan Abdul Latip Talip.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *