Assalamualaikum, syukur kita masih lagi diberi peluang untuk bernafas di bumi sejahtera.
Persaingan dan permintaan. Suatu ketika dahulu, tempat itu hanyalah tempat tumbuhnya pokok-pokok menghijau yang begitu segar mata memandang. Dalam sekelip mata, pokok-pokok itu ditebang dan tanah dirata. Mulalah proses pertumbuhan pokok-pokok konkrit dibina oleh tangan-tangan manusia. Jalan dibina bagi menghubungkan deretan-deretan kedai.
Kini, jika dilihat dengan mata, sudah pun dipenuhi dengan pelbagai perniagaan dan perkhidmatan. Tak perlu datang sendiri untuk tengok, tapi boleh juga tengok melalui televisyen. Bukan sekali dua, malah kawasan itu juga menjadi kawasan tarikan krew-krew dan artis-artis sebagai lokasi penggambaran drama-drama tempatan. Seringkali ia menjadi tumpuan para penggiat seni.
Tumbuhnya pokok-pokok konkrit ini, juga bermakna tumbuhnya persaingan antara perniagaan, sama ada bersih atau tidak, hanya mereka yang tahu. Hanya perlu memilih jalan yang sebenarnya. Persaingan antara kedai makan atau restoran, kedai serbaneka, kedai optik, bank malahan hotel-hotel budget. Yang baiknya, kita sebagai pengguna boleh buat pelbagai pilihan. Persaingan ini menyaksikan ada yang tumbang, dan ada yang terus berkembang. Yang nyata, pihak yang berkembang pastinya ada rahsia, bagaimana mahu menarik pelanggan, bagaimana mahu bertahan dengan persaingan yang cukup hebat. Yang pasti juga, mereka ini sudah semestinya menyediakan perkhidmatan terbaik sesuai dengan permintaan pelanggan mereka.
Mana yang kurang bagus, tentunya mengecewakan ramai pihak, biarpun punya produk yang cukup baik. Ada juga yang silap pengurusan hinggakan musnah perniagaan ditelan masa. Permintaan yang tinggi membuatkan tempat yang ditinggalkan diganti dengan pihak yang baru. Malah ada juga yang diganti oleh pihak yang sudah lama bertapak di situ, terus lagi berkembang meneruskan perjuangan. Namun, semua itu tidak mustahil bakal runtuh jika takdirnya sudah begitu.
Pendek kata, mudah mahu memulakan sebarang perniagaan, namun sukar membuatkannya bertahan. Apa pun, itulah lumrah kehidupan.Yang terus berkembang, pastinya pernah tumbang suatu ketika dahulu, namun dipelajari kesilapannya, dan bangkit semula meneruskan kehidupan dan perjuangan.
*** Sama juga seperti blog, ada yang berkubur dan ada yang mekar dikenali, tetapi tidak kurang juga yang pernah jatuh, tetapi bangun semula dan mencanak-canak rancaknya.
*** Sebenarnya cuma nak bagitau, Afiqah Nasi Beriani yang pernah ditulis di dalam blog ni sudah pun ditutup, tidak pasti berpindah atau bagaimana. Takut ada yang tercari-cari mahu mencuba. nanti salah informasi pula.
@fiezaradzi.com – Teringin nak makan nasi beriani itu sebenarnya, tetapi dah bukan rezeki la tu.