1 Julai – 3 Tahun Dahulu

Posted by

28 Jun 2008,

Bertolak dari rumah untuk balik kampung, walau pun tarikh ‘akhir’ masih 12 hari lagi. Jalan raya yang ‘hebat’ walaupun lebuhraya, sedikit sebanyak perut yang membesar menjadi sakit sekali-sekala. Berdua dengan suami, kenangan ‘indah’ bersama kereta Satria, tak mungkin kami lupa. Tengah hari sampai ke kampung.

Bersama keluarga menolong abang kedua pindah rumah. Masih kuat rasa waktu ni, masih mampu mengangkat barang-barang yang termampu dek kudrat si ibu buyung.

Malam yang senyap sunyi menjelma, mata yang sudah terpejam dan minda yang sedikit diulit mimpi, fizikal terjaga dek kerana pergerakan dan bunyi yang menyentap perasaan. Disebabkan ada proses pengeluaran air yang lain dari biasa, terus ku kejut suami dan ku khabarkan pada mak. Setelah mendapat nasihat dari sahabat mak, seorang jururawat, kami meredah 12.30malam menuju ke hospital.

29 Jun 2008

Hanya berbekalkan kad pemeriksaan dari klinik swasta (tak sempat nak buat kad merah), tepat pukul 1.00pagi bakal ibu ni ditahan di Wad 9, Hospital Seberang Jaya. Keadaan masih seperti biasa, tiada sakit yang berlebihan, atau mungkin sakit bersalin tu belum ku tahu.. Menerima kunjungan keluarga dan juga abang ipar serta abah yang kebetulan ke utara atas urusan. Sewaktu di periksa, keadaan masih ok. Kata doktor, mungkin perlu dimasukkan ubat, 4 kali, dan kalau tidak ada hasil juga, mungkin pembedahan perlu dilakukan. Pemeriksaan seperti biasa masih dilakukan.

30 Jun 2008

Pagi, doktor memasukkan ubat supaya proses untuk bersalin lebih cepat. Pada mulanya tidak ada rasa apa. Tapi selepas dua jam ubat dimasukkan, sakitnya hanya Allah yang tahu. Tidak ku sangka sakit sedemikian rasa. Bayangkanlah, sehingga katil di wad tu bergegar disebabkan kegigilan mak ni.. Selepas dua kali ubat dimasukkan, bukaan belum lagi seperti yang dikehendaki. Malam, usah cerita. Tidak sesaat pun mata mampu dipejam. Jatuh juga air mata, dek penangan ubat dan pengalaman kali pertama sakit bersalin. Dan jatuh juga air mata nenek kamu dek melihat kesakitan mama. Sungguh mama sedar dan serba salah, namun tidak mampu mama lakukan apa-apa. Lebih-lebih lagi tiada tempat mengadu disebabkan peneman tidak dibenarkan.

1 Julai 2008

Pukul 10.30 pagi, doktor arahkan ke dewan bersalin, sebab bukaan sudah pun ditahap yang dibolehkan ke dewan. Dewan ni.. sebab banyak tiraian bilik, sebab tu dewan namanya. Selepas dicucuk beberapa kali di tangan dek ke ‘tidak jumpaan’ salur darah, terus tak ingat sangat, sehinggalah pukul 4 petang lebih. Masa kena cucuk tu, perasaan sakit dah tak de walaupun jarum untuk ke tangan tu besar yang amat.. dan ke’hebatan’ jururawat itu juga tidak ku persoalkan..

Kekeliruan berlaku, kerana ada doktor yang datang kata ‘dah ok dah ni’, tetapi ada pulak doktor lain datang cakap ‘ni belum lagi’.. Dalam separuh sedar, ku tanya juga, ‘belum ke?’ Dijawabnya ‘Belum, lambat lagi ni..’

Akhirnya setelah beberapa kali proses peneranan dilakukan, lahirlah seorang bayi perempuan ke dunia ciptaan Allah ini. Sakitnya tidak mampu diceritakan, tetapi hilang selepas keluarkan bayi kecil itu. Selepas mendengar tangisan pertama bayi kecil, terus ucapan terima kasih ya Allah keluar dari mulut yang dah penat. Namun segala kesakitan dan kepenatan terus hilang sewaktu jururawat menunjukkan wajah comel bayi. Memang benar kata orang, bila lihat wajah anak yang dilahirkan, semua sakit hilang. Dan sewaktu proses menjahit dilakukan, sempat lagi berbual-bual dengan jururawat di situ. Tumpah air mata lagi sewaktu bayi mula menyusu.

usia sehari di hospital

Dibiarkan di tepi lorong laluan sehingga pukul 7malam. Mesti suami dan keluarga tertunggu-tunggu. Cuma mampu berdoa supaya bayi dan diri sendiri ok tanpa gangguan. Kepala yang pening dek kehilangan darah dan lalu-lalang manusia menyebabkan separuh pinggan nasi pun tidak mampu dihabiskan.

Bayi diletakkan dicelah betis dan akhirnya kami berdua ditolak ke wad selepas bersalin. Sewaktu melangkah (tipu melangkah, mana leh jalan..) ditolak keluar dari dewan bersalin, terlihat muka-muka yang sudah lama ku nantikan. Wajah suami, mak, ayah, abang-abang, adik-adik dan kakak-kakak ipar tersenyum menanti kami sejak tadi dan mengiringi kami ke wad. Disebabkan waktu melawat sudah di penghujung, sekejap je sempat kami ditemani keluarga. Suami sempat mengazan buat kali kedua untuk anak kakak disebelah katil setelah suaminya tidak dapat hadir hari tu. Syahdu melihat plot tuntutan agama itu dilakukan ke atas anak dan juga bayi sebelah katil. Sungguh indah waktu-waktu itu sebenarnya. Damai dan tenteram.

Sesungguhnya anak kecil tu membiarkan mamanya tidur kerana sepanjang malam hanya bangun sekali untuk menyusu, dan bila rakan satu harinya meraung sebelah katil, masih lagi si kecil tu tidur nyenyak. Sungguh, hadirmu menyenangkan mama. Baik dari kecil hingga sekarang. Moga kamu terus menjadi anak yang baik, yang berguna dan membesar dengan sihat dan riang.

1 Julai 2011

setelah hampir 3 tahun berlalu

Perkembangan 3 tahun yang membuatkan mama rasa bertuah kerana hadirnya kamu. Tidak banyak karenah dan bijak membuatkan mama sangat bersyukur dan bahagia di samping kamu. Bijak berkata-kata kadang-kadang membuatkan mama dan abah tersenyum. Nyata, kehadiranmu menyinarkan lagi hidup mama dan abah. Kesakitan 3 tahun lalu seolah-olah tiada apa melihat kamu membesar dengan sebaiknya. Terima kasih Ya Allah, di atas kurniaan Mu yang tidak ternilai ini..

@fiezaradzi.com – Selamat hari lahir buat puteri kesayangan mama, Annur Syazwani binti Ahmad Hafiz yang ketiga. Moga terus membesar dengan baik, moga menjadi anak solehah dan berjaya dunia akhirat. Ameen.. Nak hadiah? mintak abah.. hehehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *